119 ibu terima manfaat KISS fasa pertama

KLANG, 15 FEB: Seramai 119 ibu yang berkelayakan menerima manfaat menerusi program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) DUN Sementa, semalam.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, penyerahan itu merupakan pemberian fasa pertama di kawasan berkenaan.

Katanya, fasa kedua pemberian pula dijangkakan akan diadakan tidak lama lagi.

“Kita berharap penerima dapat menggunakan kemudahan kad ini dengan sepenuhnya.

“Kita juga berharap pemberian bantuan ini akan dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh golongan ibu dan suri rumah di sini,” katanya di Dewan Orang Ramai Kampung Tok Muda, di sini.

Dr Daroyah yang juga Ahli Dewan Negeri Sementa menzahirkan kegembiraan apabila program terbabit menerima sambutan menggalakkan daripada rakyat negeri itu.

Katanya, ia membuktikan program yang dilaksanakan Kerajaan Negeri itu tepat.

Terdahulu, Dr Daroyah berkata KISS bukan sahaja membantu ibu, ia juga satu bentuk penghormatan kepada mereka.

“Dengan pengenalan KISS ini kerajaan negeri memberi pengiktirafan dan penghormatan golongan ibu untuk membuat keputusan dan mempunyai kuasa membeli dalam urusan keperluan keluarga dan anak-anak,” katanya.

KISS diperkenalkan melalui Belanjawan 2018 Selangor tahun lalu oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Melalui KISS, setiap ibu yang layak akan menerima bantuan sebanyak RM2,400 setahun, atau RM200 setiap bulan.

Program itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 golongan ibu, termasuk mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung serta peralatan dan pakaian sekolah untuk anak di pasaraya serta kedai runcit yang akan dikenal pasti kemudian.

KISS dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri melibatkan kewangan sebanyak RM72 juta.

=EZY=

OLEH NORHAYATI UMOR (selangorkini.my)

Admin1