146 pemohon terima Kad KISS DUN Rawang

RAWANG, 13 FEB : Sambutan majlis penyerahan kad Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) fasa satu di Pusat Khidmat Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang pada 11 Februari lalu berlangsung dengan penuh meriah.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang, Gan Pei Nei berkata, sehingga kini sejumlah 146 penerima sudah menerima kad KISS itu.

“Untuk penyerahan fasa kedua ia akan dilakukan selepas perayaan Tahun Baru Cina.

“Ramai di kalangan penerima berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana menyediakan inisiatif ini,” katanya kepada SelangorKini.

Pei Nei berkata, setakat ini masih ada orang ramai datang untuk memohon kad KISS namun ia akan dibincangkan sama ada untuk menambahkan lagi pemohon pada masa akan datang.

“Bagaimanapun, saya harap dengan pemberian kad KISS ini penerima dapat memanfaatkan sebaik yang mungkin dengan membeli barangan berfaedah,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperkenalkan inisiatif KISS bertujuan mengangkat martabat golongan wanita di bawah peruntukan RM72 juta.

Melalui inisiatif ini, Kerajaan Negeri mengiktiraf setiap ibu yang layak untuk menerima bantuan sebanyak RM2,400 setahun, atau RM200 setiap bulan.

Peserta KISS akan mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung serta peralatan dan pakaian sekolah untuk anak-anak di lebih 500 pasar raya dan kedai runcit berdaftar.

=EZY=

OLEH SHEEDA FATHIL (selangorkini.my)

Admin1