37,626 kanak-kanak terima pendidikan awal

Pembangunan pendidikan di Selangor kian berkembang di bawah pelaksanaan Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS) yang berjaya membantu 37,626 penerima sejak dilaksanakan, pada Julai 2012.

Skim itu menyalurkan bantuan subsidi RM50 setiap bulan dalam bentuk yuran yang disalurkan terus kepada tadika atau PASTI berdaftar dengan Majlis Permuafakatan Tadika Selangor.

Peruntukan itu akan diberikan kepada kanak-kanak yang mempunyai keluarga berpendapatan bawah RM3,000 bagi seisi  keluarga dengan syarat ibu, bapa dan anak lahir atau tinggal, di Selangor.

Melalui skim berkenaan, ia mensasarkan pemberian pendidikan dari tadika kepada kanakkanak supaya mereka mendapat manfaat pendidikan awal demi masa hadapan yang lebih sempurna.

Ia juga selaras hasrat Kerajaan Negeri dalam merancakkan lagi pelan pembangunan pendidikan menerusi skim ini yang  menumpukan sasaran kepada pendidikan kanak-kanak tadika, di Selangor.

Kepentingan pendidikan awal kanak-kanak 

Sepanjang pelaksanaan skim ini, sejumlah RM19 juta bantuan pembayaran yuran sudah disalurkan kepada seluruh tadika atau PASTI yang berdaftar di negeri itu mengikut daerah iaitu Klang dan Petaling  antara kawasan yang mencatatkan nilai tertinggi. Berdasarkan jumlah berkenaan, ia menunjukkan Kerajaan Negeri sentiasa memandang serius dalam perkembangan sektor pendidikan awal kanak-kanak daripada semua peringkat umur dengan memberi galakan sejak daripada kecil untuk menimba ilmu pengetahuan.

“Kerajaan Negeri berharap setiap anak yang lahir di  Selangor menerima pendidikan sebaik mungkin terutama pada peringkat awal.  Inisiatif ini juga dilihat bakal memberi manfaat  jangka panjang kepada keluarga berpendapatan sederhana seluruh negeri terutama penduduk, di kawasan luar bandar.  NIK NAZMI NIK AHMAD Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, peringkat pendidikan awal kanak-kanak perlu menjadi keutamaan seperti kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya.

“Kerajaan Negeri berharap setiap anak yang lahir di Selangor menerima pendidikan sebaik mungkin terutama pada peringkat awal. Inisiatif ini juga dilihat bakal memberi manfaat jangka panjang kepada keluarga berpendapatan sederhana seluruh negeri terutama penduduk, di kawasan luar bandar.

“Maka, ini adalah matlamat yang menjadi iltizam Kerajaan Negeri untuk terus menyediakan bantuan tadika kepada golongan keluarga berpendapatan rendah kerana kami tidak mahu ada anak yang ketinggalan untuk mendapatkan pendidikan,”  katanya.

Nik Nazmi berkata, sejak 2016 bantuan TUNAS turut diselaraskan dengan meningkatkan kadar pendapatan penerima subsidi  M50 yang layak iaitu bagi keluarga berpendapatan bawah RM3,000.

Terima 904 permohonan tadika/PASTI 

Pendaftaran tadika dan PASTI di bawah skim ini juga menunjukkan peningkatan apabila menerima 904 permohonan dengan 804 daripadanya berjaya didaftarkan, manakala 23 dalam proses dan 74 masih dalam pemerhatian serta tiga lagi permohonan gagal.

Pegawai Eksekutif Rantaian Mesra Sdn Bhd Muhammad Fauzi Noordin berkata, ia menunjukkan sambutan pusat pendidikan awal kanak-kanak di negeri itu turut berminat untuk menjadi sebahagian daripada pelaksanaan skim berkenaan.

“Masyarakat juga melihat TUNAS kini menjadi keperluan bukan lagi pilihan buat mereka pada masa kini yang berdepan kos sara hidup tinggi dengan pelbagai tanggungan.

“Dengan kewujudan skim ini, ia pasti dapat membantu golongan ibu bapa dalam menyediakan pendidikan awal buat anak secara percuma,” katanya.

Beliau berkata, kesedaran ibu bapa terutama bagi golongan muda turut meningkat apabila mereka menjadi antara penyumbang kepada peningkatan pendaftaran, dari tahun ke tahun.

OLEH SABIRAH AZIZ (selangorkini.my)

Admin1