650 sertai Jom Shopping DUN Lembah Jaya

OLEH AFIX REDZUAN

AMPANG, 10 JUN: Seramai 650 penerima baucer Jom Shopping RM100 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya berpeluang membeli barang keperluan menjelang sambutan Aidilfitri di Pasaraya Giant Spectrum, Ampang.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya, Haniza Talha, berkata program ini salah satu usaha Kerajaan Negeri menjaga kebajikan rakyat melalui bantuan sempena perayaan.

“Bantuan ini juga tanda terima kasih Kerajaan Negeri kepada rakyat kerana terus memberi sokongan dan kepercayaan dalam pilihan raya yang lalu.

“Kita berharap bantuan ini juga dapat meringankan beban peserta supaya dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga,” katanya.

Beliau turut bersama-sama menemani peserta membeli belah sambil beramah mesra.

Katanya, seramai 300 peserta lain turut diberikan bantuan berbentuk hamper yang mengandungi barang keperluan asas dan diserahkan terus, semalam.

Turut dianjurkan adalah Program Jualan Harapan Rakyat bagi meringankan beban pengguna membeli barangan dapur yang akan diadakan dengan kerjasama FAMA di Joo Ayam, Pasar Bandar Baru Ampang.

OLEH AFIX REDZUAN

Admin1