692 wanita DUN Paya Jaras terima KISS

SHAH ALAM, 1 OKT: Seramai 692 wanita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras menerima kad Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), pada 29 September lalu.

Majlis penyerahan itu disampaikan Ahli Dewan Negerinya, Mohd Khairudin Othman di Tapak Parkir Econsave, Bandar Baru Sungai Buloh, di sini.

Mohd Khairudin dalam ucapannya turut mengucapkan terima kasih kepada penduduk yang setia menunggu kelulusan dan kakitangan pejabat wakil rakyat yang bertungkus-lumus menguruskan permohonan.

“Kepada yang sudah menerima kad KISS, jaga dengan elok jangan sampai hilang dan gunakan secara berhikmah, terima kasih sekali lagi kerana bersabar,” tulisnya di laman Facebook.

KISS diperkenalkan melalui Belanjawan 2018 oleh mantan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang membolehkan golongan yang layak menerima RM2,400 setahun atau RM200 setiap bulan.

Program itu memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 golongan ibu, termasuk mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung serta pakaian sekolah untuk anak di pasar raya juga kedai runcit terpilih.

Peserta KISS boleh mendapat bekalan berkenaan di lebih 500 pasar raya dan kedai runcit berdaftar seperti Giant Hypermarket, 99 Speedmart serta Pusat Pakaian Hari-Hari.

OLEH SHEEDA FATHIL (selangorkini.my)

Admin1