ADN pembangkang sambut baik IPR diteruskan

SHAH ALAM, 5 DIS: Kesinambungan program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) bukan hanya mendapat respon positif wakil kerajaan, malah ia turut disambut baik pembangkang.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sijangkang, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi bersetuju pensejajaran program itu perlu dilaksanakan bagi memperkasakan manfaat IPR kepada rakyat.

“Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 sehingga sebelum pembentangan belanjawan, respon Kerajaan Negeri adalah meneruskan program ini, manakala persepsi rakyat ia diteruskan tanpa pindaan.

“Saya melihat kedudukan kewangan negeri masa kini menyebabkan berlaku penjajaran IPR, malah ia terus diperkasa tetapi bukan secara terpilih atau ambil mudah,” katanya kepada SelangorKini.

Bagaimanapun, beliau berpendapat pensejajaran itu juga tidak dibuat secara menyeluruh dan dibincangkan secara tuntas.

“Sebagai contoh, tiada perkembangan baru program Skim Mesra Usia Emas walaupun mendapat respon meluas supaya diberikan juga kepada penerima semasa hayat.

“Program insentif perkahwinan belia turut mendapat bantahan ramai ADN kerajaan, malah Pemuda Amanah turut menghantar memorandum kepada kerajaan. Ini menunjukkan tiada perbincangan baik dalam kerajaan itu sendiri,” katanya.

Pada masa sama, katanya, pengecualian fi lesen dan cukai taksiran perlu disemak semula kerana ia membabitkan pendapatan kepada negeri bagi mengurus keperluan rakyat.

“Bukan memansuhkan keputusan dulu tetapi ada kadar yang perlu dibayar untuk membolehkan pembangunan negeri diteruskan,” katanya.

OLEH NORHAYATI UMOR (selangorkini.my)

Admin1