Aidilfitri bermakna buat 750 peserta Jom Shopping

SHAH ALAM, 11 JUN : Sambutan Aidilfitri yang bakal tiba kurang dari lima hari sahaja lagi pasti akan lebih bermakna buat 750 warga emas, Orang Kelainan Upaya dan golongan kurang berkemampuan apabila dibantu secara berterusan menerusi program Jom Shopping.

Mereka yang diraikan di Pasaraya Giant, Bandar Kinrara, semalam itu adalah dari zon Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang yang juga kawasan Ahli Dewan Negeri, Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau berkata, program itu bertujuan meringankan beban ditanggung golongan kurang berkemampuan untuk turut memeriahkan sambutan Aidilfitri.

“Inisiatif Kerajaan Negeri mengekalkan pemberian baucar Jom Shopping pada setiap perayaan kaum Melayu, Cina dan India harus dipuji kerana ia menunjukkan betapa prihatinnya kita kepada rakyat.

“Pada masa sama, saya berharap penerima gembira dengan inisiatif diterima dan sedikit sebanyak dapat membantu membeli barangan keperluan pada Aidilfitri nanti,” katanya.

Sementara itu, Pasaraya Giant turut memberi sumbangan berupa bahan makanan asas kepada peserta Jom Shopping.

Dr Siti Mariah turut beramah mesra bersama peserta yang hadir sambil menemani mereka membeli-belah.

Terdahulu, sejak 2009, sejumlah RM 2.5 juta baucar dilaksanakan Kerajaan Negeri untuk diberikan kepada rakyat menjelang perayaan setiap tahun.

OLEH SHEEDA FATHIL

Admin1