Air percuma 25 meter padu dilaksana suku tahun pertama 2019

SHAH ALAM, 4 DIS: Program pemberian air percuma 25 meter padu sebulan kepada golongan B40 dijangka akan dilaksanakan, pada suku tahun pertama 2019.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pelaksanaan itu selepas Kerajaan Negeri menyelaraskan ‘cut off’ pendapatan dan kawasan pengguna yang layak menerimanya.

Katanya, peningkatan pemberian meter padu itu juga selepas kajian purata penggunaan air dari 25 hingga 26 meter padu bagi isi rumah.

“Ini membolehkan mereka tidak perlu lagi membayar air setiap bulan. Setiap isi padu, hampir semua pengguna menikmati air percuma RM0. Itu sebab kenapa saya letak 25 meter padu.

“Fokus B40 ini ditakrifkan adalah pendapatan bawah RM6,000, namun tidak diambil semua kerana tidak mempunyai data lengkap, oleh itu perlu mendaftar di e-kasih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika penggulungan perbahasan usul peruntukan pembangunan belanjawan 2019, di sidang Dewan Negeri Selangor, di sini.

Katanya, pensejajaran semula program itu juga tidak mempunyai kaitan dengan pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

“Kita tidak menggunakan sesen pun, itu diuruskan Air Selangor Sdn Bhd,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan Negeri 2019 baru-baru ini, Amirudin berkata, matlamat asal program itu adalah usaha membantu mengurangkan beban rakyat khususnya berpendapatan rendah.

Oleh itu, katanya, Kerajaan Negeri memberi fokus kepada B40 kerana yakin golongan itu lebih berkeperluan dan lebih menghargai untuk bantuan air percuma.

Ia menjadikan Kerajaan Negeri akan membelanjakan sejumlah RM80 juta dan membuat penjimatan RM105.2 juta.

OLEH NORHAYATI UMOR (selangorkini.my)

Admin1