Bas Smart Selangor ke-100 dilancar, diiktiraf MBOR

SUBANG JAYA, 24 SEPT: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali hari ini melancarkan Bas Smart Selangor ke-100 yang turut menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBOR).

Beliau berkata, pelancaran itu bukti keupayaan Kerajaan Negeri menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam kepada rakyat.

“Kita satu-satunya negeri yang memperkenalkan bas percuma dalam negara dan mungkin di dunia.

“Inisiatif ini sejajar hasrat Kerajaan Negeri menyediakan kemudahan terbaik kepada rakyat, di samping 42 inisiatif lain yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya di hadapan lebih 200 hadirin.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bas Smart Selangor ke-100, di Pintu Masuk Utama Pusat Membeli Belah Sunway Pyramid, di sini.

IMG_3595Turut hadir, Speaker Dewan Negeri Selangor yang juga Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Hannah Yeoh serta Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim.

Bas Smart Selangor ke-100 merupakan laluan keempat di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) iaitu SJ04.

SJ04 akan melalui Stesen KTM Serdang, Balai Polis Seri Kembangan, Taman Kembang Sari, Taman Serdang Jaya, Masjid UPM, MARDI, South City Plaza dan The Mines.

Pada 1 Julai 2015, perkhidmatan Bas Smart Selangor mula diperkenal di tiga Pihak Berkuasa Tempatan iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Klang dan MPSJ.

Pada 2016, ia diperluas ke Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Kajang seterusnya Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Daerah Kuala Langat, Majlis Daerah Kuala Selangor, Majlis Daerah Sabak Bernam dan Majlis Daerah Hulu Selangor.

OLEH LIZAWATI MADFA (selangorkini.my)

Admin2

Leave Comment :