Baucar Jom Shopping hargai warga emas ketika hidup

KUALA SELANGOR, 26 APR: Sejajar hasrat menjaga kebajikan warga emas, Kerajaan Negeri bakal memberikan baucar Jom Shopping kepada peserta bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) bermula Oktober.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pemberian baucar RM100 itu diberikan pada setiap musim perayaan sebagai ganti pembayaran khairat kematian kepada waris peserta SMUE.

Katanya, program yang memperuntukkan RM20 juta setahun itu akan memberi manfaat kepada lebih 200,000 warga emas semasa mereka masih hidup berbanding manfaat diterima mereka sebelum ini.

“Program ini bertepatan dengan hasrat Kerajaan Negeri yang menghargai golongan warga emas dan mahu mereka menikmati hasil negeri ketika mereka masih hidup.

“Baucar Jom Shopping ini akan membantu golongan warga emas dalam membeli barang keperluan asas sebagai kelengkapan menjelang musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika sidang media selepas Sesi Town Hall Jelajah Maju Bersama Dato’ Menteri Besar Selangor di Dewan Raja Lumu, di sini.

Pada masa sama, beliau berkata, sejajar dengan penjajaran semula yang dibuat itu, tiada lagi sebarang pembayaran wang khairat kematian kepada waris bagi warga emas dalam SMUE yang meninggal dunia selepas 30 April.

“Tempoh tuntutan khairat kematian boleh dibuat tetapi selewat-lewatnya sebelum 31 Mei 2019,” katanya.

Sehingga kini, sebanyak RM 256 juta sudah dibelanjakan bagi membayar wang khairat kematian bernilai RM2,500 kepada waris, sejak permulaan skim itu pada 1 Oktober 2008 membabitkan 103,320 warga emas meninggal dunia.

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM (selangorkini.my)

Admin1