Belanjawan Selangor 2019: Pendidikan awal kanak-kanak OKU dipertingkat

SHAH ALAM, 9 OKT: Aksesibiliti pendidikan awal kanak-kanak kelainan upaya di Selangor dirancang untuk ditingkatkan dengan membuka pusat khas buat golongan itu, mulai tahun depan.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, inisiatif itu menyasarkan anak-anak down syndrom, autisme dan disleksia dari keluarga kurang berkemampuan.

Katanya, usaha itu masih giat dirangka dan perincian lanjut berkenaannya akan dibentangkan di Sesi Pembentangan Belanjawan Selangor 2019, pada 23 November depan.

“Pusat khas itu bertujuan supaya setiap kanak-kanak OKU mampu menjalani kehidupan dengan menitikberatkan beberapa aspek kemahiran, bermain dan belajar.

“Kita akan melaksanakan pusat khas ini di dua taska di setiap Dewan Undangan Negeri terpilih di Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Dr Siti Mariah berkata, pusat khas yang akan dilanksanakan secara ‘pilot’ itu selaras dengan Program Intervensi Awal (EIP) dilaksanakan Kerajaan Negeri seperti sebelum ini.

Katanya, ia merupakan pakej pendidikan merujuk kepada perkhidmatan diberikan kepada bayi atau kanak-kanak mempunyai ketidakupayaan seperti pendengaran, penglihatan, pembelajaran dan fizikal.

“Apabila wujudnya program ini, ibu bapa tidak perlu risau lagi untuk berfikir mahu menghantar anak mereka jauh daripada rumah yang menjadi punca banyak perbelanjaan dikeluarkan.

“Malah, Kerajaan Negeri amat memahami permasalahan dihadapi rakyat dan kita berusaha sedaya upaya untuk membantu meringankan beban dihadapi setiap golongan ini,” katanya.

Dr Siti Mariah berkata, dua sukarelawan akan dihantar menjalani latihan kemahiran khusus supaya mereka boleh mendidik anak-anak itu sebaiknya.

OLEH SHEEDA FATHIL (selangorkini.my)

Admin1