Buat pemeriksaan payudara tiga tahun berturut

SHAH ALAM, 14 OKT: Golongan wanita disaran mengambil kesempatan membuat pemeriksaan mammogram percuma menerusi Skim MammoSel, sekurang-kurangnya tiga tahun berturut-turut bagi mengesan kanser payu dara lebih awal.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan kesukaran mengesan sel kanser lebih awal.

“Mammogram ini bukan sekali buat, bila dapati kita bebas daripada kanser payudara, bukan bermakna kita bebas sepenuhnya.

“Wanita sekurang-kurangnya perlu buat selama tiga tahun berturut-turut, selepas itu barulah boleh berhenti sekejap dan kemudian buat semula pemeriksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor pada program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan sempena Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam Ke-18, di Dataran Kemerdekaan, di sini, hari ini.

Katanya, kanser yang dikesan sudah berada pada tahap tiga atau empat menyebabkan kesukaran untuk merawat, berbanding tahap satu.

Sementara itu, ketika menyentuh program ‘Pink Walk’ yang diadakan pada program itu, Dr Siti Mariah berkata, ia dilaksanakan ekoran Oktober adalah bulan kesedaran kanser payudara.

“Kempen kesedaran kanser payu dara yang dipanggil ‘Pink October’ ini juga diraikan di seluruh dunia untuk menggalakkan wanita membuat saringan awal,” katanya.

OLEH NAZLI IBRAHIM (selangorkini.my)

Admin1