Dua pusat pendidikan khas terima sumbangan EIP

SETIA ALAM, 15 JAN: Kerajaan Negeri berbesar hati menyerahkan sumbangan RM200,000 kepada Persatuan Kebangsaan Autism Malaysia (NASOM) Negeri Selangor dan Pusat Pendidikan Khas Minda.

Setiap pusat pendidikan masing-masing menerima sumbangan RM100,000 menerusi Program Intervensi Awal (EIP) yang diserahkan sendiri Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi di Pusat Terapi NASOM Setia Alam.

NASOM diwakili Naib Pengerusi, Datuk Chuah Ching Wah manakala Pusat Pendidikan Khas Minda diwakili Penasihat Kokurikulum, Muliani Abu Bakar.

Daroyah dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3 juta untuk program EIP yang dimulakan sejak tahun lalu.

Beliau turut menyeru lebih banyak pusat pendidikan kanak-kanak istimewa supaya tampil memohon bantuan daripada Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3 juta bagi membantu pusat-pusat pendidikan yang melaksanakan EIP seperti Autisme dan Disleksia.

“Setiap kategori keperluan rakyat kita sediakan dan sampaikan. Persatuan digalakkan untuk memohon kepada kita supaya bantuan dapat diberikan bagi membantu mereka,” katanya.

Menurutnya, setakat ini 10 kelulusan sudah diberikan kepada bakal penerima EIP dengan jumlah sumbangan maksima RM100,000.

Katanya, Kerajaan Negeri turut meminta senarai nama pelajar istimewa yang menjalani pendidikan khas akibat Autism dan Disleksia supaya mereka menikmati Skim Peduli Sihat dengam pembiayaan kesihatan bernilai RM200 setahun.

Dalam majlis sama, Senior Psychologist, Grace Liew memberikan penerangan mengenai NASOM yang mula ditubuhkan sejak 1986 dan didaftarkan sebagai perbadanan kebangsaan kebajikan setahun kemudian.

Pusat Terapi NASOM Setia Alam mula ditubuhkan pada 2005 di Jalan Pahang sebelum berpindah ke Setia Alam.

Antara perkhidmatan ditawarkan adalah terapi cara kerja, terapi seni, terapi drama, terapi tingkah laku, terapi kemahiran sosial dan perkhidmatan program di rumah.

Sementara Pusat Pendidikan Khas Minda pulanberoperasi di Seksyen U12, Taman Cahaya Alam, Shah Alam.

 

OLEH AFIX REDZUAN (selangorkini.my)

Admin1