DUN Taman Medan rekod pendaftaran tertinggi KISS

PETALING JAYA, 24 FEB: Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan antara kawasan yang merekodkan pendaftaran skim Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) tertinggi dengan jumlah hampir 500 peserta.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Medan, Haniza Talha berkata, beliau gembira dengan sambutan diterima terhadap skim terbaru Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri tahun ini.

“Alhamdulillah, kita berjaya mendaftarkan seramai 472 golongan ibu di DUN Taman Medan hari ini.

“Penerima boleh membeli belah di lima pasaraya di sekitar Taman Medan, tiga cawangan di 99 Speedmart dan dua Pusat Pakaian Hari-Hari,” katanya.

Dalam ucapannya pada Karnival Inisiatif Peduli Rakyat DUN Taman Medan, beliau gembira dengan sambutan yang diberikan dan berterima kasih kepada penduduk setempat kerana memilih beliau dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan (PJS), Hee Loy Sian sebagai wakil rakyat.

Katanya, Kerajaan Negeri telah melaksanakan lebih 40 program IPR bagi membantu meringankan beban rakyat dan beliau menasihatkan penduduk setempat supaya membuat pilihan bijak pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Karnival IPR DUN Taman Medan menyaksikan kehadiran lebih 200 penduduk setempat berhampiran Matahari Mall.

Selain penerima KISS, majlis penyerahan skim Food Bank kepada 300 orang, bayaran fasa pertama RM1,000 Skim Mesra Usia Emas (SMUE) kepada 24 penerima dan 22 penerima Skim Peduli Sihat turut dilangsungkan.

Turut diraikan, 33 penerima skim Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) dan 83 Skim Mesra Usia Emas sempena sambutan 10 tahun program berkenaan.

=EZY=

OLEH AFIX REDZUAN (selangorkini.my)

 

Admin1