Exco: Wanita berpeluang tambah pendapatan jadi pengasuh dari rumah

SHAH ALAM 31 MAC: Wanita yang mengambil upah mengasuh anak-anak kecil di rumah, kini berpeluang meningkatkan taraf mereka dengan bergelar pengusaha taska.

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail berkata, Kerajaan Negeri kini memberi peluang kepada pengasuh kanak-kanak menjadikan bidang kerja mereka sebagai satu kerjaya dengan pendapatan tinggi.

Katanya, setiap pengasuh hanya perlu menjalani kursus dan memenuhi syarat tertentu bagi membolehkan mereka memperoleh lesen dan mendapat bantuan subsidi daripada Kerajaan Negeri.

“Sebelum ini, memang bantuan diberi kepada yang berdaftar (taska institusi) sahaja, jadi kita lihat ini perlu diolah supaya yang di rumah juga boleh dapat bantuan.

“Saya teliti dan dapati bawah Peraturan Kanak-kanak terdapat klausa mengatakan boleh dilesenkan kalau tidak lebih sembilan kanak-kanak termasuk anak sendiri, sebab itu kita usahakan.

“Kita komited dan mahukan wanita yang bekerja daripada rumah juga mampu memperolehi pendapatan yang setaraf dengan mereka yang bekerjaya di luar sana,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Penutup Kursus Insentif Perkembangan Kanak-kanak yang diadakan di Intekma Resort di sini petang semalam.

Seramai 27 pengasuh daripada seluruh Selangor mennyertai kursus dua hari itu bagi membolehkan mereka memperoleh sijil pengusaha taska.

Pada masa sama, Rodziah berkata beliau akan mencadangkan kepada Kerajaan Negeri untuk mengiktiraf taska institusi sebagai salah satu subsidiari projek kebajikan.

“Saya kini sedang proses siapkan kajian agar cukai pintu yang dikenakan kepada taska institusi bukan berdasarkan kepada cukai pintu komersial.

“Kita mahu ia dilihat sebagai satu bentuk kebajikan kepada rakyat dan bukan berasaskan kepada keuntungan semata-mata kerana kita lihat ada keperluan ke arah itu pada masa kini,” katanya lagi.

Sumber: Selangorkini.com

Admin1

Leave Comment :