HIJRAH-SELANGOR-NEW-1170x550

Hampir 41,000 peniaga terima pembiayaan HIJRAH

SHAH ALAM, 18 SEPT: Kira-kira 41,000 peniaga kecil menerima manfaat daripada skim mikrokredit Hijrah Selangor (HIJRAH) bagi mengembangkan perniagaan masing-masing.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Mohamed Azmin Ali berkata, peningkatan memberangsangkan itu turut mendorong pertumbuhan ekonomi usahawan, sekali gus meningkatkan pendapatan mereka.

“Selangor sebagai kerajaan peduli rakyat akan terus membantu peniaga ini untuk meningkatkan operasi perniagaan mereka,” katanya ketika sesi dialog Malaysia Baru bersama Dato’ Menteri Besar, di Muzium Sultan Alam Shah, di sini, pada 16 September lalu.

Pada masa sama, beliau berkata, Kerajaan Negeri turut menimbang menambah jumlah kewangan bagi pembiayaan skim terbabit dan akan diputuskan jika wujud keperluan untuk tempoh jangka panjang.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri sudah membelanjakan RM270 juta sebagai keperluan pelaksanaan skim terbabit.

Azmin MB“Kita boleh jalankan penelitian jika wujud keperluan menaikkan siling bantuan pembiayaan HIJRAH melebihi kadar RM50,000.

“Sekarang nilai pembiayaan ditawarkan sekitar RM1,000 hingga RM50,000 dengan pelaksanaan skim ini tidak dikenakan kadar faedah kepada peminjam,” katanya.

HIJRAH Selangor adalah program mikrokredit bersepadu di bawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Inisiatif itu dilaksanakan menerusi Projek Penyelidikan Tindakan (Action Research Project) yang memberi tumpuan meningkatkan pendapatan ekonomi golongan pertengahan.

OLEH ERMIZI MUHAMAD (selangorkini.my)

Admin2

Leave Comment :