HIJRAH: 52,000 peserta terima manfaat dalam tempoh 3 tahun

SHAH ALAM, 19 MAC: Genap tiga tahun pelaksanaan program Hijrah Selangor, kira-kira 52,000 peserta berjaya menerima manfaat skim mikrokredit itu sebagai penyalur modal tambahan peniaga kecil.

Pengerusi Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor, Datuk Dr Mansor Othman berkata, skim yang diperkenalkan sejak tiga tahun itu komitmen Kerajaan Negeri melonjakkan golongan miskin memasuki kelas menengah.

Katanya, sepanjang tiga tahun pelaksanaan program itu, Hijrah mencapai banyak kemajuan membantu usahawan kecil dalam pelbagai bentuk.

“Kita mensasarkan 56,000 peserta bagi tempoh tiga tahun, bermakna penambahan empat ribu peserta lagi, makan kita akan mencapai sasaran.

“Sehingga kini, 52,000 peserta menerima bantuan skim ini dengan nilai RM368 juta,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Dr Mansor berkata, pelbagai kejayaan peserta Hijrah dicatatkan dalam tempoh tiga tahun menerusi perkembangan perniagaan masing-masing.

Katanya, pinjaman ulangan juga semakin meningkat dalam kalangan peserta daripada permulaan hanya RM5,000 sehingga mencecah RM50,000.

“Melihat kepada kejayaan ini, saya yakin Kerajaan Negeri mampu mempertimbangkan pertambahan maksimum pinjaman kepada peserta kerana kita dapat lihat sendiri keberkesanan program ini membantu usahawan,” katanya.

OLEH SYAZWANI SUFIAN

Admin1