HIJRAH optimis capai sasaran bantu 56,000 usahawan

SHAH ALAM, 19 OGOS: Program Mikrokredit Hijrah Selangor (HIJRAH) mampu mencapai sasaran membantu 56,000 penggiat usahawan industri kecil dan sederhana, bagi tempoh berakhir Disember 2017.

Pengerusi Ekseuktif Yayasan Hijrah Selangor, Datuk Dr Mansor Othman berkata, seramai 38,000 peserta sudah dibantu dalam tempoh sehingga suku tahun kedua pelaksnaan program itu, tahun ini.

Beliau berkata, baki penggal kedua lebih memberi tumpuan kepada peserta dalam kalangan warga luar bandar sebagai inisiatif meningkatkan jaringan pendapatan golongan itu.

“Skim pinjaman mikrokredit ini berjaya dilaksanakan bagi memenuhi visi Kerajaan Negeri Selangor di bawah dasar pembaharuan Dato’ Menteri Besar.

“Sudah tentu sepanjang pelaksanaannya, sudah banyak kejayaan diraih dan perkembangan ini adalah landasan terbaik untuk melebarkan pendapatan kelas menengah.

“Pelaksanaan skim ini juga dilihat berupaya bagi membantu Kerajaan Negeri dalam menangani isu kemiskinan, di Selangor.

“Untuk tempoh berakhir suku tahun sahaja, kita sudah berjaya menyalurkan bantuan kepada 38,000 peserta dengan sasaran sesl 56,000 dijangka mampu kita capai,” katanya kepada SelangorKini.

HIJRAH BANTUPada masa sama, Dr Mansor berkata, yayasan berkenaan giat menjalankan pemantauan secara dekat bagi mengatasi isu kegagalan pembayaran semula skim pinjaman permodalan perniagaan itu.

“Untuk tahun ini, kita mengalami sedikit penurunan sekitar 80 peratus sahaja jumlah pembayaran balik khususnya di kawasan bandar seperti Ampang dan Pandan Indah.

“Justeru bagi mengatasi masalah ini, kita kerap turun padang dan mengadakan perbincangan secara dekat bersama pejabat zon seluruh negeri. Kita harap pemantauan secara dekat, di samping kajian menyeluruh ini dapat mengenalpasti sebarang kaedah dan punca bagi mengatasinya,” katanya.

Untuk rekod, daerah Sabak mencatatkan perolehan kutipan tertinggi pembayaran semula skim bantuan berkenaan untuk tempoh suku pertama, tahun ini.

Sebelum ini, HIJRAH adalah program mikrokredit bersepadu di bawah gagasan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dengan menggabungkan SKIMSEL, MIMBAR dan WALA yang dilaksanakan, sejak 2008.

Program di bawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) itu adalah Projek Penyelidikan Tindakan (Action Research Project) yang memberi tumpuan bagi meningkatkan pendapatan ekonomi golongan pertengahan.

OLEH ERMIZI MUHAMAD (selangorkini.my)

Admin2

Leave Comment :