Hijrah Selangor bakal tawar pembiayaan perniagaan kepada mahasiswa

SHAH ALAM, 20 OGOS: Program Mikrokredit Yayasan Hijrah Selangor bakal memperluaskan tawaran pembiayaan modal perniagaan kepada golongan mahasiswa berkelayakan.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amiruddin Shari berkata, inisiatif berkenaan dijalankan bagi membantu golongan mahasiswa terlibat dalam program keusahawanan.

“Kita akan lancarkan dana khas di bawah Skim Hijrah Selangor dengan membuka tawaran skim mikrokredit itu kepada mahasiswa Universiti Selangor (UNISEL).

“Kita akan salurkan bantuan permodalan kepada mahasiswa yang ingin membuka perniagaan sebagai suntikan nilai tambah kepada golongan itu untuk lebih berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian Townhall Session sempena penganjuran Kongres Mahasiswa Selangor 2017 di Dewan Raja Muda Seksyen 7, semalam.

Sebelum ini, Yayasan Hijrah Selangor bakal menjalinkan kerjasama dengan Universiti Selangor (UNISEL) bagi mengkaji keberkasanan pelaksanaan Skim Mikrokredit, Hijrah Selangor kepada usahawan negeri.

Pengerusi Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor, Datuk Dr Mansor Othman berkata, penilaian dan kajian menyeluruh akan dijalankan untuk tempoh dua tahun skim berkenaan diperkenalkan.

“Kita telah melantik UNISEL untuk menjalankan kajian impak termasuklah membuat tinjauan di lapangan bagi mendapatkan laporan khusus pelaksanaan skim ini untuk dihantar kepada Kerajaan Negeri.

“Ini adalah tempoh selayaknya kajian perlu dibuat bagi tempoh dua tahun Hijrah Selangor diperkenalkan kepada golongan usahawan dan penggiat industri kecil dan sederhana (IKS) negeri,” katanya.

Terdahulu, Hijrah Selangor adalah program Mikrokredit Bersepadu di bawah gagasan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dengan mengabungkan SKIM SEL, MIMBAR dan WALA yang dilaksanakan sejak 2008.

Program di bawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) itu merupakan Projek Penyelidikan Tindakan (Action Research Project) yang memberi tumpuan bagi meningkatkan pendapatan ekonomi golongan pertengahan.

=EZY=

OLEH ERMIZI MUHAMAD (selangorkini.my)

Admin2

Leave Comment :