Insentif Perkahwinan Belia ditambah baik tahun depan

GOMBAK, 11 SEPT: Insentif Perkahwinan Belia ditambah baik bermula tahun depan, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Katanya, program yang menerima sambutan baik golongan belia berusia 35 tahun ke bawah itu kini dalam proses peyusunan semula.

“Kerajaan Negeri sedang memperhalusi semula insentif ini samaada memerlukan penambahan nilai ataupun penambahan daripada sudut pengetahuan kepada pasangan.

“Langkah penambahbaikan ini tidak dilakukan pada tahun ini memandangkan kita sedang melaksanakan semua pelan yang sudah dirancang mantan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sepanjang 2018 ini,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah dan Nikah Perdana 2018 di Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak, hari ini.

Sebelum ini, menerusi Belanjawan Selangor 2013, Kerajaan Negeri mengumumkan pemberian insentif perkahwinan kepada belia yang layak sebanyak RM200, namun bermula 1 Januari 2014 insentif itu dinaikkan kepada RM500 seorang.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri akan menambahbaik sumber ilmu pengetahuan dalam kalangan pasangan yang sudah berkahwin di negeri ini.

Katanya, ia kerana masih ramai pasangan tidak mempelajari ilmu psikologi alam rumahtangga antaranya cara berdepan keluarga baru serta menerima anak pertama.

“Disebabkan kekurangan ilmu ini, ia menjadi diantara salah satu punca penceraian, disebabkan itu kita cuba mengurangkan risiko penceraian yang agak tinggi ini melalui penambahbaikan semula Insentif Perkahwinan Belia,” katanya.

OLEH NADIAH ZAMLUS (selangorkini.my)

Admin1