IPR: Hanya yang terbaik untuk rakyat

SHAH ALAM, 5 DIS: Kerajaan Negeri tidak akan membuat keputusan menyusahkan rakyat, sebaliknya sentiasa memikirkan kaedah dan pelaksanaan terbaik bagi manfaat semua.

EXCO Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, Kerajaan Negeri turut menyusun beberapa program lain untuk rakyat hasil penjimatan insentif air percuma.

“Tiada isu dalam program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) sedangkan ia masih berjalan seperti biasa, malah lebih 40 program IPR masih dilaksanakan.

“Cuma ada beberapa program disejajarkan semula dan ditambah baik, contohnya Skim Peduli Sihat, yang turut ditawarkan Kerajaan Persekutuan melalui insurans, termasuk mengkaji Tabung Warisan Anak Selangor untuk diberikan kepada negeri lain.

“Bagi program pemberian air percuma, kita mengambil maklum bahawa golongan B40 lebih memerlukan, justeru kita menawarkan lebih meter padu kepada mereka kerana kita tahu nilai RM10 itu sangat besar ertinya,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, tindakan pensejajaran beberapa program IPR itu bagi meningkatkan kualiti program supaya dana dibelanjakan dapat diberikan secara terbaik kepada rakyat.

Semalam, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menegaskan pensejajaran program IPR hanya membabitkan beberapa agenda sahaja, manakala selebihnya masih diteruskan seperti biasa.

Katanya, Kerajaan Negeri melaksanakan beberapa strategi bagi memastikan ia diberdaya dari program pemberian kepada pemerkasaan untuk memastikannya lestari dan tidak membebankan pentadbiran akan datang.

OLEH NORHAYATI UMOR (selangorkini.my)

Admin1