IPR jiwa Kerajaan Negeri, terus diperkukuh demi rakyat

SHAH ALAM, 20 JUL: Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang menjadi jiwa kepada Kerajaan Negeri akan terus diperkukuh dalam memastikan rakyat Selangor terus maju dan tidak tertinggal dalam arus pembangunan negeri.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, menerusi IPR Kerajaan Negeri mencakna rakyat dalam bentuk rancangan sosial bukan hanya pemberian goodies atau bentuk kewangan semata.

Katanya, walaupun Kerajaan Negeri berbangga dengan kemajuan atau angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) namun, ia belum dapat memuaskan hati jika tidak diterjemahkan kepada rakyat secara keseluruhan.

“Inilah jiwa kepada program IPR, kita akan lihat peduli dan cakna nasib rakyat bukan soal pemberian goodies dan dalam bentuk kewangan tetapi kita mempunyai rancangan sosial masyarakat.

“Kerajaan Negeri bangga tetapi belum cukup puas hati angka itu selagi belum diterjemahkan kepada rakyat.

“Kadang kala kita terbitkan atau melebarkan jurang antara golongan kaya dan miskin membuatkan rakyat hanya berkongsi 20 peratus sahaja dari hasil negeri. Ini menyebabkan ketidakseimbangan pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Menyantuni dan Menyemarakkan Inisiatif Peduli Rakyat DUN Sungai Kandis di Padang Rakyat Jalan Kebun, di sini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Noor Azmie Diron dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Sehubungan itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai inisiatif antaranya bantuan perniagaan kerana percaya bakat yang digilap mampu membantu penjanaan pembangunan negeri.

Pada program itu, seramai 180 penerima IPR menerusi Skim HIJRAH, Skim Mesra Usia Emas dan Blueprint.

OLEH NORHAYATI UMOR (selangorkini.my)

Admin1