IPR masih kekal

SHAH ALAM, 5 DIS: Penduduk di negeri ini tidak perlu bimbang dengan dakwaan kononnya program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) bakal dihapuskan.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, kekeliruan berlaku apabila Kerajaan Negeri membuat penjajaran semula terhadap program yang mendapat sambutan hangat itu.

“Sememangnya Kerajaan Negeri tetap meneruskan agenda kebajikan rakyat Selangor melalui IPR, namun penjajaran semula diperlukan pada ketika ini memandangkan situasi ekonomi semasa negeri.

“Maka, penyelarasan diperlukan dalam usaha melakukan penjimatan ke atas perbelanjaan negeri, di samping terus memastikan kumpulan B40 mendapat manfaat,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas komitmen Kerajaan Negeri meneruskan program IPR melalui Belanjawan Selangor 2019.

Beliau juga optimis Kerajaan Negeri akan terus melihat kebajikan rakyat sebagai keutamaan dalam memastikan kesejahteraan hidup mereka.

“Banyak lagi program IPR yang masih kekal dan tidak terbabit dengan penjajaran semula, maka bagi yang layak boleh memohon,” katanya.

OLEH NADIAH ZAMLUS (selangorkini.my)

Admin1