Jamin kesejahteraan, IPR tingkat ekonomi rakyat Selangor

Pentadbiran Pakatan sejak 2008 memberi penekanan terhadap aspek kebajikan rakyat tanpa mengambil kira sebarang perbezaan sentimen politik, agama dan bangsa.

Iltizam itu dilaksanakan penuh konsisten bagi memastikan rakyat dapat menikmati hasil kekayaan negeri bersesuaian dengan agenda peduli rakyat yang diumumkan, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Justeru, bagi merealisasikan hasrat itu, Dato Menteri Besar memperkenalkan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) meliputi keperluan seluruh rakyat.

“Bermula pada 2008 dengan tujuh program, Kerajaan Negeri menambah sehingga 38 program yang dapat memberi manfaat kepada rakyat, maka tercetusnya nama baru iaitu Inisiatif Peduli Rakyat.

“Saya rasa bangga dengan pelaksanaan program ini yang membantu rakyat kerana sememangnya rakyat berhak berkongsi hasil kekayaan negeri,” katanya.

PENJENAMAAN IPR

Sebelumnya, prgoram yang dikenali sebagai Merakyat Ekonomi Selangor (MES) itu dijenamakan semula bagi mendukung hasrat pembangunan berkebajikan di Selangor.

Dimulakan dengan 7 agenda utama, ia kemudian ditambah dan meningkat dari semasa ke semasa melalui fasa demi fasa.

Visi dan Misi Kerajaan Negeri Selangor dalam program Inisiatif Peduli Rakyat adalah dengan mengutamakan kebajikan rakyat di samping kualiti hidup rakyat dipertingkatkan.

Malah, objektif utama dalam pentadbiran baharu adalah untuk memastikan Selangor menjadi negeri idaman dengan kemajuan dikekalkan dan kebajikan rakyat diutamakan.

Di samping itu, peningkatan kualiti hidup rakyat dijamin dapat dipertingkatkan, agar rakyat dapat menikmati hidup yang lebih sejahtera di negeri ini.

KESEIMBANGAN PEMBANGUNAN IPR

Kejayaan Selangor maju perlu diterjemahkan dengan erti kata sebenar agar rakyat menerima limpahan kekayaan Selangor yang melimpah ruah.

Bagaimanapun, keberkesanan pelbagai program di bawah inisiatif IPR juga mampu mewujudkan keseimbangan dalam semua aspek pembangunan seimbang dan spiritual.

Ia turut diakui Mohamed Azmin yang merujuk dasar digariskan Kerajaan Negeri adalah tepat apabila hasil kekayaan negeri disalurkan kepada rakyat dalam bentuk program berkebajikan kepada rakyaat.

“Ia amat berjaya dan setakat ini Kerajaan Negeri telah membelanjakan lebih RM2 bilion yang diserahkan kepada rakyat.

“Oleh kerana keberkesanan program ini yang dapat memberdayakan rakyat maka ia akan diteruskan dalam Belanjawan 2018 akan datang.

“Saya ingin menegaskan bahawa inisiatif Peduli Rakyat adalah teras utama pembangunan Negeri Selangor. Pembangunan yang berkualiti adalah teras peduli rakyat.

“Pembangunan yang tidak peduli rakyat adalah pembangunan yang tempang. Justeru itu, kita perlu menggembeleng segala tenaga dan sumber untuk sama-sama Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri,” katanya.

BASMI KEMISKINAN RAKYAT

Lebih membanggakan, laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2016 mendedahkan insiden kemiskinan Selangor berkurangan kepada kosong peratus pada 2016, berbanding 0.2 peratus pada 2014.

Keberkesanan itu menyaksikan kejayaan program Inisiatif Peduli Rakyat dapat membasmi kemiskinan dan masalah kesenjangan pendapatan antara bandar dan luar bandar.

Keberkesanan pelaksanaan inisiatif itu juga turut dipuji Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Prof Dr Shaharuddin Badaruddin yang menyifatkan pelaksanaannya sejajar dengan kemajuan ekonomi pembangungan negeri terkaya itu.

“Ini merupakan satu contoh pengorbanan dibuat di mana Kerajaan Negeri tidak menyimpan duit itu tetapi kembalikan terus kepada rakyat dengan program biasiswa, Bas Smart Selangor, Peduli Sihat, Hijrah dan lain-lain,” katanya.

Jelas Pengarah Institut Darul Ehsan (IDE) itu, pengorbanan wang ringgit dalam program seperti IPR seperti ini jelas untuk membantu rakyat semata-mata walaupun tidak memberikan pulangan keuntungan wang ringgit seperti mana dalam konteks perniagaan atau pelaburan.

Kata penganalisis politik terkenal itu lagi, pentadbiran Kerajaan Negeri turut diberikan kestabilan politik dan mampu menjalankan urusan pentadbiran dengan licin dan berkesan untuk rakyatnya.

Justeru, keyakinan rakyat terhadap pelaksanaan dasar itu mewujudkan keberkesanan positif yang secara langsung dapat memberi manfaat berterusan kepada masyarakat Selangor.

Inisiatif itu wajar dipuji dan dincontohi pentadbiran di peringkat kerajaan bagi memastikan kesejahteraan dan peningkatan ekonomi rakyat dapat dipulihkan.

OLEH ERMIZI MUHAMAD (selangorkini.my)

Admin2

Leave Comment :