Jom Shopping ceriakan 400 penerima di DUN Permatang

SHAH ALAM, 18 JAN: Baucar Jom Shopping yang disumbangkan kepada 400 penerima di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang memberi keceriaan buat mereka, menjelang perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

Ahli Dewan Negerinya, Rozana Zainal Abidin berkata, program itu adalah salah satu usaha Kerajaan Negeri untuk terus menjaga kebajikan rakyat melalui bantuan sempena perayaan.

“Bantuan ini juga sebagai tanda terima kasih Kerajaan Negeri kepada rakyat kerana terus memberi sokongan dan kepercayaan, pada pilihan raya lalu.

“Saya berharap baucar RM100 ini dapat meringankan beban persiapan dan menambahkan lagi kegembiraan dalam menyambut Tahun Baharu Cina pada 5 dan 6 Februari nanti,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Terdahulu, Rozana meraikan 400 penerima baucar Jom Shopping Perayaan Tahun Baru Cina di Econsave Sungai Buloh, pada 12 Januari lalu.

Program Jom Shopping adalah salah satu daripada dasar Inisiatif Peduli Rakyat bertujuan membantu rakyat Selangor, terutama golongan kurang upaya, warga emas dan ibu tunggal.

Baucar itu diagihkan kepada semua Pusat Khidmat Rakyat DUN di seluruh negeri dan wakil rakyat atau pegawai penyelaras DUN akan menetapkan tarikh untuk membawa warga emas berkenaan membeli-belah.

OLEH SHEEDA FATHIL (selangorkini.my)

Admin1