Kedai runcit Wak Adon ada KISS

PELABUHAN KLANG, 29 MAC: Kedai runcit Wak Adon yang terletak di Kampung Perajurit, Telok Gong terpilih menjadi sebahagian daripada kedai panel program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS).

Kedai itu yang menjual pelbagai barangan keperluan asas, basah dan kering, turut menawarkan khidmat penghantaran kepada penerima KISS.

Pemiliknya, Mohd Ahadon Samlan, rasa amat bertuah kerana dapat bersama-sama menjadi sebahagian dari KISS.

“Saya harap kedai ini dapat membantu ibu-ibu di kawasan ini yang mempunyai kad KISS supaya membeli keperluan harian dan asas dengan mudah.

“Saya juga berhasrat untuk membeli bekalan barangan keperluan asas ini terus daripada pembekal,” katanya.

Kedai itu dirasmikan oleh Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi.

Dr Daroyah berkata, kad KISS adalah salah satu cara pelaksanaan Smart Selangor.

“Penggunaannya yang dibuat tanpa tunai dapat menguruskan pembelian barangan keperluan dengan lebih mudah.

“Ia diberikan kepada para ibu yang nempunyai keluarga berpendapatan rendah supaya dapat memberikan makanan yang cukup, bernutrisi dan berkhasiat kepada anak-anak.

“Semoga kedai ini dapat membantu para ibu membeli barangan keperluan harian mereka,” katanya.

 

 

 

=EZY=

OLEH SABIRAH AZIZ (selangorkini.my)

Admin1