Kerajaan Negeri belanja RM2 bilion laksana IPR

SHAH ALAM, 16 DIS: Kerajaan Negeri sudah membelanjakan lebih RM2 bilion untuk melaksanakan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) sejak diperkenalkan, pada 2008.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hasil kekayaan yang diperoleh di Selangor mesti diserahkan kepada rakyat kerana ia bukan milik pemimpin atau parti politik, sama ada dalam bentuk program mahupun inisiatif.

“IPR mendapat perhatian bukan sahaja di Selangor tetapi di seluruh Malaysia.

“Kedah ikut cara Selangor beri air percuma. Kita sudah belanjakan RM180 juta untuk memberikan air pecuma 20 meter padu kepada enam juta penduduk di negeri ini. Terengganu juga mengikut skim Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa, di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, hari ini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin turut menyampaikan sumbangan hampir RM310,000 kepada 95 penerima dari Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa.

Daripada jumlah berkenaan, RM180,000 diagihkan kepada persatuan, surau, NGO dan kelab dari Parlimen Gombak serta DUN Bukit Antarabangsa.

Bagi sumbangan kos sara hidup, RM35,000 diperuntukkan kepada 37 penerima, sementara 19 lagi menerima sumbangan pendidikan berjumlah RM19,000.

Turut disampaikan, sumbangan komputer riba dan desktop bernilai RM68,000 kepada 22 penerima.

 

OLEH AFIX REDZUAN (selangorkini.my)

Admin1