Kerajaan Negeri disaran kaji, tambah baik IPR

SHAH ALAM, 4 SEPT: Kerajaan Negeri disaran mengkaji dan menambak baik 42 program di bawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) bersesuaian semangat federalisme demi manfaat rakyat dan semua pihak berkaitan.

Ahli Dewan Negeri Sementa, Dr Daroyah Alwi berkata, selaras perubahan pentadbiran kerajaan di peringkat Persekutuan, penambahbaikan itu dianggap penting kerana ia banyak membawa manfaat kepada rakyat dan mendapat perhatian negeri lain.

“IPR dijayakan Kerajaan Negeri menjadi program contoh dan buah mulut di seluruh negara, maka melalui semangat federalisme, saya berharap ia dikaji serta ditambah baik demi kebaikan semua pihak.

“Walaupun Kerajaan Negeri mempunyai rizab negeri yang tinggi tetapi ia boleh diselaraskan dan sebahagiannya dijalankan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan serta mengurangkan penggunaan peruntukan negeri,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyertai sesi perbahasan dan penyokong titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam Istiadat Perasmian Mesyuarat Kedua (Pembukaan) Penggal Pertama Persidangan DNS Ke-14 Tahun 2018.

Beliau berkata, IPR dijalankan Kerajaan Negeri terbukti membawa banyak manfaat kepada rakyat walaupun tidak mendapat peruntukan Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

Katanya, Kerajaan Negeri menerusi konsep berkongsi kekayaan negeri bersama rakyat, jelas membawa manfaat dengan beberapa program IPR seperti Skim Peduli Sihat, Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan Hijrah Selangor menjadi tumpuan serta terdapat beberapa program dicontohi negeri lain.

“Tahniah kepada Kerajaan Negeri dan semua ADN yang memenangi 51 daripada 56 kerusi dalam DNS (pada PRU14) dan bukan sekadar Selangor tetapi juga di peringkat Persekutuan.

“Rakyat sememangnya menaruh harapan tinggi terhadap Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan kepimpinan Kerajaan Negeri demi meneruskan kecemerlangan,” katanya.

 

 

OLEH HAFIZAN TAIB (selangorkini.my)

Admin1