KETUA HARUS PRIHATIN MASALAH RAKYAT

KELANANG – Ketua Kampung di setiap kawasan perlu memberikan kerjasama untuk memaklumkan pelbagai perkara yang berlaku di kampung mereka.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, ketua kampung harus memainkan peranan sebagai polis, wartawan dan sebagainya bagi mengukuhkan kepimpinan mereka kepada masyarakat.

Menurutnya, ketua masyarakat perlu berani membawa permasalahan dan keperluan masyarakat kepada pihak yang bertanggungjawab sebagai tanda prihatin terhadap masalah rakyat.

“Kita tidak mahu lihat anak buah tercicir dari mendapatkan kemudahan yang disediakan terutamanya kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri.

“Kepercayaan Kerajaan Negeri melantik mereka sebagai ketua kampung harus dibalas dengan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis Penyampaian Skim Mesra Usia Emas (SMUE) di Balai JKKK Kampung Tali Air, Morib.

Beliau berkata, sebarang tanggungjawab yang diamanahkan harus dipikul dengan ikhlas, bersungguh-sungguh dan amanah.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid, ketika memberikan ucapannya…

Abdullah Sani berkata, ketua kampung perlu menjalinkan hubungan baik dalam masyarakat. “Sehubungan itu ketua kampung tidak harus sambil lewa bekerja tetapi menanam sikap bekerja bersungguh-sungguh membangunkan kawasan masing-masing sebagaimana yang diamanahkan,” katanya.

Sementara itu, penerima SMUE, Siti Shafie, 59, berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada ketua kampung yang berusaha mencari anak buahnya untuk mendapatkan bantuan SMUE dalam usaha mendekatkan diri dengan pimpinan yang ada.

Menurutnya, dia bersetuju kepimpinan kampung yang perlu mengamalkan sikap prihatin kepada masyarakat supaya segala bantuan yang dapat disalurkan sampai kepada rakyat.

“Dalam pada itu, usaha Kerajaan Negeri membantu masyarakat diharapkan diteruskan dengan adanya ketua kampung yang bertanggungjawab.

“Tugas dan tanggungjawab ketua kampung bukan sahaja memimpin masyarakat dalam sesebuah komuniti tetapi sebagai wakil rakyat dalam kampung yang sentiasa memantau anak buahnya yang mengalami masalah,”katanya.

Menyampaikan cek pembayaran SMUE kepada waris…

Bergambar bersama waris penerima cek SMUE….
Admin1

Leave Comment :