KISS bukan untuk rokok, gincu

SHAH ALAM, 23 JAN: Pasar raya dan kedai berdaftar di bawah program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) tidak dibenarkan menjual peralatan kosmetik dan rokok kepada penerima skim berkenaan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, arahan berkenaan berkuat kuasa serta-merta kepada lebih 500 pemilik kedai berdaftar.

“Saya sudah keluarkan arahan kepada semua pasar raya, jika ada ibu yang datang nak beli rokok untuk suami, jangan benarkan.

“Itu arahan menteri besar. Rokok tidak boleh, gincu juga tidak boleh. Kelengkapan lain, boleh kita pertimbangkan,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin merasmikan program KISS di bawah peruntukan RM72 juta bagi meningkatkan status sosio ekonomi dan autonomi wanita Selangor.

Skim berkenaan terbuka kepada rakyat Selangor atau mereka yang menetap melebihi 10 tahun dan merupakan pemilih berdaftar, di negeri itu.

Ia juga terbuka wanita berkeluarga atau ibu tunggal yang mempunyai anak atau tanggungan, di bawah umur 21 tahun.

Mereka yang berminat boleh membuat permohonan secara dalam talian di laman sesawang www.kiss.com.my; atau mendaftar terus di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Admin1