KISS bukti iktiraf peranan Hawa

SHAH ALAM – Inisiatif pelaksanaan Skim Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) membuktikan komitmen Kerajaan Negeri mengangkat martabat wanita, di negeri itu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, skim berkenaan menjadi penanda aras bagi meringankan beban kemiskinan membabitkan wanita, di Selangor.

“KISS dikhaskan untuk ibu kerana mereka insan yang tahu segalanya (mother knows best).

“Sempena Hari Wanita Sedunia, saya ingin mengulangi tekad dan komitmen Kerajaan Negeri untuk memberdaya serta mengiktiraf peranan serta pengorbanan wanita,” katanya sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia, pada 8 Mac lalu.

Terdahulu, laporan United Nations Children’s Fund (UNICEF) berhubung tahap kesihatan wanita dan kanak-kanak di negara ini iaitu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kuala Lumpur mendedahkan beberapa aspek dilihat berada pada tahap membimbangkan.

Laporan berkenaan turut men-dedahkan, seramai 22 peratus kanak-kanak bawah lima tahun bantut, 15 peratus kurang berat badan, 20 peratus kurus kering dan 23 peratus mengalami obesiti.

Menyedari hakikat itu, Mohamed Azmin berkata, pelaksanaan skim terbabit diyakini mampu membawa sinar baru kepada golongan wanita, di Selangor.

“Kita mahu berkongsi pengalaman membantu golongan ibu dan kanak-kanak ini dengan Kuala Lumpur dan seluruh Malaysia kerana perbezaan politik tidak boleh menghalang kita berbuat demikian.

“Saya percaya Selangor adalah masa depan Malaysia dan KISS sebahagian mekanisme meringankan beban kemiskinan, sekali gus menceriakan masa depan kanak-kanak juga ibu kita,” katanya.

Selangorkini.my

Admin1