KISS jauh lebih baik dari BR1M

SHAH ALAM, 8 NOV 2017: Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) diperkenalkan Kerajaan Negeri disifatkan jauh lebih baik berbanding Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) khususnya bagi membantu golongan wanita berpendapatan rendah.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, KISS memberikan bantuan kewangan RM200 setiap bulan selama setahun bagi membolehkan golongan ibu terlibat membeli barangan keperluan asas berbanding BR1M yang diberikan secara ‘one-off’.

“KISS jauh lebih baik kerana setahun mereka memperloleh bantuan sekitar RM2,400 berbanding BR1M hanya RM1,200.

“BR1M diberikan kepada ketua keluarga manakala KISS kita berikan kepada ibu,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan ADN Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan Negeri Selangor 2018.

Menurutnya, wanita berpendapatan rendah di bawah RM2,000, ibu tunggal dan wanita yang tidak berkahwin tetapi menjaga ibu bapa layak untuk menyertai program KISS.

Beliau turut menjelaskan KISS merupakan program pemberian makanan asas sama seperti Food Stamp yang dilakukan dahulu tetapi ia ditambah baik dengan memberikan kad khusus bernilai RM200.

Katanya, penerima Food Stamp boleh ditukar statusnya kepada penerima KISS tetapi jika penerima terdahulu lelaki, ketua keluarga boleh menukar nama penerima kepada wanita terutama si ibu.

Daroyah menjelaskan Kerajaan Negeri akan berbincang dan memaklumkan kelak lokasi pasaraya untuk pemegang kad KISS membeli belah.

OLEH AFIX REDZUAN

Borang Permohonan: Muaturun Borang Permohonan KISS

Lebih lanjut: Kiss.com.my

Admin1