Kiss: Permohonan melebihi sasaran

KERAJAAN Selangor memahami beban kos sara hidup yang terpaksa ditanggung rakyat Selangor khususnya dalam mendapatkan bahan keperluan asas bagi keluarga berpendapatan RM2,000 ke bawah.

Justeru menerusi inisiatif peduli rakyat (IPR), kerajaan negeri memperkenalkan Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss) iaitu satu program kebajikan khusus bagi kaum ibu di kalangan golongan berpendapatan rendah yang akan dilaksanakan Januari 2018.

Program ini bukan sahaja mengiktiraf peranan penting kaum ibu dalam menguruskan keluarga, malah membantu dari segi kewangan untuk pembelian barangan keperluan asas.

 Lebih menarik, peserta Kiss boleh membeli barangan keperluan asas di kedai dan pasaraya yang berdaftar secara tanpa tunai (cashless). Ikuti kupasan lanjut serta tinjauan dilakukan Sinar Harian berhubung program Kiss ini..

KLANG – Permohonan program Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss) yang diperkenalkan kerajaan negeri November lalu mendapat sambutan memberangsangkan apabila lebih 30,000 permohonan sudah diterima sehingga kini.

 Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, kerajaan negeri menyasarkan 500 permohonan bagi 56 Dun melibatkan pusat khidmat masyarakat dan pejabat penyelaras dun.

“Bagaimanapun saya dimaklumkan terdapat pusat khidmat masyarakat dan pejabat penyelaras yang sudah menerima lebih 500 permohonan sejak permohonan dibuka pada 13 Disember lalu.

“Contohnya di pusat khidmat saya sendiri di Dun Sementa, lebih 1,000 borang sudah habis dan kita terima balik borang yang dipulangkan sebanyak 700 permohonan,” katanya.

Adun Sementa itu berkata, berikutan sambutan hangat daripada kaum wanita dan melebihi sasaran, pihaknya berhasrat untuk menutup permohonan kerana sudah melebihi jangkaan yang ditetapkan dalam 30,000 di seluruh Selangor.

“Kita hanya akan pilih 500 wanita yang betul-betul layak dan perlu dibantu di setiap pusat khidmat masyarakat dan pejabat penyelaras.

“Terdapat permohonan yang diterima terdiri daripada mereka yang tidak layak dari segi pendapatan, jadi kita pilih yang betul-betul layak dan tak mahu orang awam pertikaikan apa yang dilaksanakan kerajaan negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, melalui program itu juga, kerajaan negeri memperuntukkan seramai 30,000 wanita atau keluarga di negeri ini bakal menikmati Kiss yang merupakan salah satu Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

“Mengikut perangkaan, bagi pendapatan isi rumah RM2,000 sebulan jika dilihat 1.7 peratus daripada rakyat Selangor ia membabitkan sejumlah RM6.2 juta.

“Jika mengambil kira 1.7 peratus bagi 100,000 isi rumah, kita sasarkan dalam 30,000 wanita bakal menikmati bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung serta peralatan dan pakaian sekolah untuk anak-anak di pasaraya serta kedai runcit yang dikenal pasti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, langkah kerajaan negeri memperkenalkan inisiatif baharu Kiss ini bersesuaian dalam keadaan ekonomi negara yang teruk termasuk kenaikan harga barangan.

“Ramai yang memerlukan pertolongan daripada kerajaan negeri…Jadi melalui RM200 sebulan ia amat berharga dan bernilai buat mereka,” katanya.

Daroyah berkata, selepas pemilihan, pihaknya berharap mereka yang gagal menikmati inisiatif ini tidak berkecil hati sebaliknya terus bersangka baik.

“Jangan kecewa tetapi berilah peluang kepada mereka yang lebih layak khususnya yang berpendapatan RM2,000 dan ke bawah,” katanya.

Manfaat Kad Kiss

  • Diberi kepada setiap ahli yang layak
  • Boleh digunakan di kedai serta pasaraya berdaftar
  • Urusniaga pembelian barangan keperluan asas adalah tanpa tunai
  • Pembelian barangan keperluan asas adalah terhad sebanyak RM 200 sebulan
  • Baki nilai bagi bulan terdahulu tidak akan dibawa ke bulan hadapan
  • Kad Kiss akan ditambah nilai ke tahap RM200 pada setiap bulan secara automatik

Senarai barangan keperluan asas yang diluluskan

  • Beras
  • Mi dan Bihun
  • Roti
  • Biskut
  • Telur
  • Gula dan Garam
  • Rempah ratus
  • Tepung
  • Minyak masak
  • Sayur-sayuran
  • Daging ayam, lembu, kambing dan ikan
  • Sabun dan bahan pencuci (detergent)
  • Lampin pakai buang (bayi / dewasa)
  • Produk tenusu – susu segar, susu tepung, susu sejat dan susu pekat manis
  • Barangan persekolahan – kasut, beg, buku, alatulis, pakaian seragam dan sebagainya

Nota: Hanya barangan yang tersenarai di atas diluluskan untuk pembelian. Tiada had dari segi jenama barangan yang dipilih.

Syarat kelayakan

Warganegara Malaysia

– Lahir di Selangor atau menetap di Selangor melebihi 10 tahun

Pemilih berdaftar di Negeri Selangor

– Wanita berkeluarga (berkahwin atau ibu tunggal) yang mempunyai anak/tanggungan di bawah umur 21 tahun

Pendapatan isi rumah di bawah RM 2,000 sebulan.

Lebih lanjut boleh layari laman sesawang www.kiss.com.my

Sumber: Sinar Harian

Admin1