KISS tidak terhad 500 peserta bagi satu DUN

SHAH ALAM, 27 MAC: Kerajaan Negeri menafikan peserta skim Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dihadkan kepada 500 orang sahaja bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) sebaliknya jumlah itu bergantung kepada demografi penduduk.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, setiap DUN mempunyai demografi penduduk berbeza antara kawasan bandar dan luar bandar.

“Jumlah sasaran 30,000 peserta tidak menghadkan mana-mana DUN tetapi mengikut demografi DUN tersebut.

“Setiap DUN tidak semestinya kuota 500 orang sahaja tetapi yang penting dapat bantu golongan ibu yang menghadapi desakan hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Katanya sebagai contoh, kawasan elit seperti di DUN Kampung Tunku dan Bukit Gasing mungkin mempunyai pandaftaran yang rendah berbanding di kawasan seperti DUN Sri Serdang.

Menerusi program KISS, golongan ibu yang layak bakal menerima insentif berjumlah RM2,400 setahun atau RM200 sebulan untuk mereka membeli keperluan asas bulanan.

OLEH AFIX REDZUAN (selangorkini.my)

Admin1