KoHijrah sasar wujud di setiap Parlimen

SHAH ALAM, 25 JAN: Hijrah Selangor (HIJRAH) berhasrat mahu mewujudkan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) Shop di setiap 22 Parlimen di Selangor pada tahun ini.

Pengerusi Eksekutif Hijrah Selangor, Dato’ Mansor Othman berkata, usaha itu akan cuba dilaksanakan bermula tahun ini secara berperingkat.

“KoHijrah Shop menjual peralatan keusahawanan khususnya untuk usahawan HIJRAH dan masyarakat secara umumnya.

“KoHijrah Shop juga bercadang mahu menjual produk dihasilkan usahawan HIJRAH dan sekali gus berhasrat mahu mewujudkan ia di setiap kawasan Parlimen Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Wisma KoHijrah dan Penyerahan Pembiayaan Skim Hijrah Selangor yang disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari di Wisma KoHijrah, Seksyen 32, di sini, semalam.

Pada masa sama, Dr Mansor berkata, HIJRAH berjaya melangkah ke hadapan dengan perasmian Wisma KoHijrah selepas tiga tahun penubuhan sejak 11 April 2016.

“Dalam usia agak muda, KoHijrah mampu mengumpul pendapatan sejumlah RM3.7 juta dengan keahlian 11,000 orang.

“Saya mengajak lebih ramai usahawan HIJRAH untuk menjadi ahli KoHijrah kerana gerakan koperasi terbukti memberi manfaat yang banyak kepada ahlinya dan turut menumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Antara projek dilaksanakan KoHijrah adalah pembekalan ‘Food Truck’; ‘Mobile Food Cart’; penjualan ‘Vending Machine’; projek pembelian getah dan KoHijrah Shop.

OLEH SHEEDA FATHIL (selangorkini.my)

Admin1