KoHijrah tingkat sosioekonomi peserta HIJRAH

SHAH ALAM, 25 JAN: Penubuhan Wisma Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) mampu mempertingkatkan kedudukan sosioekonomi peserta Hijrah Selangor (HIJRAH) dan seluruh warganya.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sehingga kini bilangan anggota KoHijrah sudah mencecah 11,057 orang dan kebanyakannya terdiri daripada bekas peminjam skim mikrokredit HIJRAH.

“Impak penubuhan KoHijrah sebagai satu platform alternatif untuk mempelbagaikan kaedah pinjaman seperti peruntukan ‘Zero To Hero’ dan program berasaskan ‘Mentor Mentee’ membuktikan HIJRAH cuba meneroka kepelbagaian serta meningkatkan kualiti program pembangunan usahawan di Selangor.

“Dengan pelaksanaan penuh integriti dan telus, saya percaya HIJRAH menerusi KoHijrah mampu mengembangkan fungsi mereka selain daripada menjadi alat untuk membantu peminjam meningkatkan kualiti produk.

“HIJRAH juga boleh membantu peserta khususnya dalam kalangan peniaga Bumiputera berkenaan pemasaran dan ‘networking’ kepada peniaga dengan kewujudan KoHijrah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Wisma KoHijrah dan Penyerahan Pembiayaan Skim Hijrah Selangor di Wisma KoHijrah, Seksyen 32 di sini, semalam.

Pada masa sama, katanya, perasmian Wisma KoHijrah itu mampu menjadi motivasi dan perangsang kepada warganya untuk lebih proaktif dan progresif pada masa akan datang.

“Saya yakin dengan kemampuan dimiliki Ahli Lembaga KoHijrah, ia sekali gus dapat memacu kepada pertumbuhan yang lebih cemerlang, berdaya saing dan mampan.

“Saya akan sentiasa memberi sokongan padu kepada KoHijrah dan semoga boleh menjadi contoh yang baik serta berdaya saing pada masa akan datang,” katanya.

KoHijrah adalah sebuah koperasi ditubuhkan sejak April 2016 bertujuan meningkatkan kedudukan sosioekonomi peserta HIJRAH yang menjadi ahlinya.

Sehingga Oktober tahun lalu, sejumlah RM4,349,531 pendapatan diterima KoHijrah menerusi projek Tabung Kebajikan Hijrah Selangor; sewaan padang, Ladang Alam Warisan, Kendera Saji, ‘Vending Machine’, penjualan lembu korban, pelaburan getah beku dan MyTani.

OLEH SHEEDA FATHIL (selangorkini.my)

Admin1