KUPON BEKALAN AIR PERCUMA

168,479 pembeli pengsapuri kos rendah di negeri ini bakal terima manfaat

Subang Jaya – Seperti dijanjikan Kerajaan Negeri sebelum ini, seramai 168,479 pembeli pangsapuri kos rendah yang kini menggunakan meter air pukal bakal menikmati manfaat 20 meter apadu air percuma menerusi sistem kupon yang diperkenalkan. Bagi tujuan itu, dianggarkan sejumlah RM24.5 juta diperuntukkan setahun dibawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) membabitkan 620 pemaju pangsapuri kos rendah di negeri ini. Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, meski pun agak terlambat menunaikan salah satu manifesto Pilihanraya Umum ke -12 (PRU12) kepada penghuni pangsapuri kos rendah yang menggunakan meter air pukal, namun usaha tetap dilakukan bagi membolehkan rakyat merasai dan menikmati sumber air negeri Selangor.

Tan Sri Khalid Ibrahim ketika sedang berucap di Majlis Perasmian Pelancaran Sistem Kupon Air Percuma

“Kita anggap air ini adalah hak rakyat dan cara sebaiknya Kerajaan Negeri memberikan sejumlah bekalan itu secara percuma.

“Pada awalnya kita sudah melaksanakannya tetapi program hanya dijalankan di perumahan pangsa yang mempunyai meter individu kerana memudahkan pengiraan dibuat,” katanya pada Majlis Perasmian Pelancaran Sistem Kupon Air Percuma bagi pemilik rumah kos rendah di pangsapuri Sri Tanjung, USJ 16, dekat sini.

Pangsapuri yang mempunyai 1,000 unit kediaman itu dipilih sebagai perintis perlaksanaan program bagi menjalani tempoh percubaan selama tiga bulan dan jika berjaya sistem kupon akan diperkenalkan ke pangsapuri kos rendah lain di negeri Selangor secara berperingkat.

Penghuni pangsapuri yang hadir ke majlis tersebut….

Bagi pangsapuri Sri Tanjung sahaja, RM72,480 diperuntukan dan dalam tempoh tiga bulan percubaan, perkara berbangkit akan dikaji dan kelemahan diperbaiki supaya sistem perlaksanaan akan dapat dipertingkatkan.

Abdul Khalid berkata, pihaknya memikirkan bagaimana membantu pembeli menggunakan meter pukal yang tidak dapat menikmati manfaat itu sebelum ini, sebelum membuat kajian dan mendapati rakyat tidak boleh menunggu sehingga migrasi meter yang memakan tempoh masa lama dilakukan baru mereka boleh menikmati skim itu.

“Sebelum ini, mereka yang mendapat manfaat adalah yang mempunyai meter air individu. Tetapi kita berpendapat, untuk menunggu penukaran meter pukal kepada individu mengambil masa dan lambat dilaksanakan kerana faktor kos dan sebagainya.

“Oleh itu, kita mengambil keputusan memberikan 20 meter padu air percuma berasaskan sistem kupon. Ia diberikan melalui beberapa proses dan dicetak oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS),” katanya yang memaklumkan kupon diberikan hanya kepada mereka yang layak.

Menteri Besar Selangor ketika melancarkan program MES…

Abdul Khalid berkata, bagaimanapun proses mendapatkan kupon itu akan cuba diurus dengan baik dan tidak mewujudkan banyak birokrasi.

“Kalau usaha ini berjaya, mungkin pembayaran air dan kupon pemberian air percuma akan dilakukan dalam tempoh tiga bulan sekali.

“Malah kita akan memaklumkan kepada rakyat berapa jumlah kita bayar kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan berapa banyak agensi itu diagihkan air kepada tapak pangsapuri,” katanya yang berharap kaedah itu dapat membantu golongan yang berpendapat rendah dan sederhana yang tinggal di pangsapuri.

Bagaimanapun Abdul Khalid berharap, badan pengurusan bersama (JMB), pemaju atau perbadanan pengurusan (MC) tetap melaksanakan migrasi meter pukal kepada individu untuk menikmati manfaat lain kelak.

Hadir sama, Ketua Pengarah Eksekutif LPHS, Datin Paduka Alinah Ahmad yang memberikan penerangan berhubung mekannisme digunakan bagi pemberian air percuma menerusi sistem kupon.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Kahlid menyerahkan replika kupon pemberian air percuma kepada Pengerusi JMB Pangsapuri Sri Tanjung, Mohd Nizam Abdullah (kanan)

Sumber: Sinar Harian

Admin1

Leave Comment :