Laluan bas Smart Selangor ditambah, galak guna pengangkutan awam

AMPANG, 6 OGOS: Kerajaan Negeri menyediakan perkhidmatan Bas Percuma Smart Selangor dengan laluan tambahan baru di kawasan untuk kemudahan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.

Exco Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan, Industri Kecil & Sederhana (IKS) dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Kim berkata, perkhidmatan bas percuma itu diperluaskan di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) ekoran sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

“Seperti dinyatakan Yang Dipertuan MPAJ, Abd Hamid Hussain, bagi 1 Januari hingga 31 Disember tahun lalu seramai lebih kurang 460,000 penumpang manakala bagi tempoh 1 Januri hingga 30 Jun lalu mencatat seramai kira-kira 229,000 penumpang.

“Tahniah kepada MPAJ atas usaha dijalankan bagi menjayakan program perkhidmatan bas Smart Selangor ini,” katanya.

Bas Smart SelangorDato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyempurnakan Majlis Perasmian Bas Smart Selangor MPAJ dan Dataran Transit MPAJ di sini, semalam.

Beliau berkata, bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam di kalangan rakyat Selangor, laluan bagi perkhidmatan bas itu bagi MPAJ telah ditambah dua laluan pada tahun ini.

Pada tahun lalu, katanya, hanya terdapat empat bas dan satu laluan maka tahun ini diambah dua laluan lagi dengan tujuh bas menjadikan semuanya tiga laluan dengan 11 bas di kawasan itu.

“Dua laluan baru ialah AJ02 iaitu melalui Bandar Baru Ampang hingga Taman Dagang sepanjang 10.7 kilometer dan laluan AJ03 melalui LRT Chempaka ke Taman Bukit Teratai sepanjang 6.2 kilometer.

“Dalam penyediaan perkhidmatan bas Smart Selangor percuma ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukan RM2.5 juta bagi laluan AJ01 tahun lalu.

“Bagi tahun ini konsep satu ‘plus’ satu dilaksana dengan Kerajaan Negeri membiayai laluan AJ02 dengan jumlah RM1.25 juta manakala MPAJ menampung kos bagi laluan AJ03 sebanyak RM626,000,” katanya.

Sementara itu, Abd Hamid merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri di atas penambahan laluan perkhidmatan bas Smart Selangor di kawasan pentadbiran MPAJ itu.

“Ia membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keperluan orang ramai di kawasan ini.

“Terima kasih juga kepada Kerajaan Negeri yang memperuntukkan RM20 juta dalam Belanjawan 2017 bagi penambahan laluan dan penambahbaikan bas Smart Selangor bagi semua PBT termasuk MPAJ,” katanya.

=EZY=

OLEH HAFIZAN TAIB (selangorkini.my)

Admin2

Leave Comment :