Mahu kuota bantuan KISS ditambah

SHAH ALAM, 22 MEI: Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli mahu bantuan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) ditambah kuota bagi memastikan kebajikan rakyat yang memerlukan terjamin.

Katanya, hal itu kerana, beliau menerima permohonan yang banyak daripada penduduk setempat.

Beliau berkata, Dato’ Menteri Besar sebelum ini mengumumkan pertambahan 10,000 lagi permohonan dibuka untuk rakyat Selangor menikmati manfaat Kiss.

“Oleh itu, bagi DUN Bukit Melawati, saya akan menyemak semula sama ada kuota masih ada atau sebaliknya.

“Saya kena semak dahulu memandangkan peruntukan KISS ini terhad bagaimanapun permohonan bagi Kad Peduli Sihat masih dibuka seperti biasa,” katanya.

Terdahulu, katanya, permohonan KISS yang dibuka sudah mencapai 30,000 permohonan dan tambahan lagi 10,000 permohonan dibuka untuk keluarga yang memerlukan.

Pada masa sama, katanya, kira-kira 400 permohonan KISS sudah diluluskan bagi DUN terbabit.

“Masih ramai yang ingin memohon bantuan ini. Peruntukan KISS terhad dan jika masih berbaki tambahan kuota itu, saya akan bantu sebaik mungkin,” katanya.

OLEH NORHAYATI UMOR

=EZY=  (selangorkini.my)

Admin1