Masa menunggu kini lebih singkat

SELAYANG, 3 OKT: Masa menunggu perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor di Majlis Perbandaran Selayang (MPS) kini disingkatkan kepada 20 minit daripada 35 minit sebelum ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, ia berdasarkan peningkatan jumlah penumpang di laluan pertama di MPS yang mencecah 90,000 sebulan.

Katanya, Kerajaan Negeri memutuskan supaya MPS menambah dua bas di laluan berkenaan yang mula beroperasi dengan empas bas sejak beroperasi pada pertengahan 2016.

BAS SMART SELANGOR (3)“Dengan penambahan dua bas ini, tempoh masa menunggu juga dapat dipendekkan kepada 20 minit, berbanding lebih setengah jam sebelum ini.

“Jumlah penumpang juga kini sudah meningkat kepada 120 ribu penumpang dalam tempoh sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Laluan 2 Bas Smart Selangor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua MPS, Suliman Abdul Rahman, Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan Ahli Dewan Negeri Rawang, Gan Pei Nei.

Chang Khim berkata, perkhidmatan Bas Smart Selangor di MPS mencatatkan 1.3 juta penumpang di mana laluan satu 1.2 juta, setakat 31 Ogos lalu dan 43,698 penumpang di laluan dua bagi tempoh 26 Julai hingga 31 Ogos lalu.

BAS SMART SELANGOR (2)“Secara keseluruhan, jumlah penumpang Bas Smart Selangor bagi tempoh 1 Julai 2015 sehingga 31 Ogos 2017 adalah sebanyak 10,734,359 penumpang bagi seluruh Selangor.

“Ia melibatkan kos RM42.5 juta dengan RM33.5 juta disediakan Kerajaan Negeri manakala baki RM9 juta ditanggung Pihak Berkuasa Tempatan termasuk MPS,” katanya.

OLEH LIZAWATI MADFA (selangorkini.my)

Admin2

Leave Comment :