IMG_8566-1170x550

MB: Bas Percuma Smart Selangor ke-100 dilancar 24 September

KAJANG, 5 OGOS: Bas Percuma Smart Selangor yang ke-100 bakal dilancar pada 24 September hadapan, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, Selangor setakat semalam, mempunyai 93 bas yang disediakan secara percuma di 11 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negeri.

Katanya, Kerajaan Negeri membelanjakan lebih RM32 juta bagi menyediakan perkhidmatan yang terunggul di Malaysia itu.

“Ia sememangnya melibatkan kos yang agak besar tetapi Kerajaan Negeri sedia menanggungnya untuk kemudahan rakyat.

“Walaupun perkhidmatan pengangkutan awam bukan bidang kuasa Kerajaan Negeri, tetapi atas dasar tanggungjawab dengan kedudukan kewangan kukuh, kita sediakan perkhidmatan bas percuma di bandar dan luar bandar,” katanya.

Bas Smart SelangorBeliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bas Smart Selangor Laluan KJ02 dan KJ03 di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim dan Yang DiPertua Majlis Perbandaran kajang (MPKj), Sayuthi Bakar.

Dengan pelancaran itu, MPKj kini menerima dua laluan menjadikan tiga laluan dan lapan bas secara keseluruhannya.

Mula beroperasi pada 1 Januari 2016, laluan pertama KJ01 mencatatkan 788,000 penumpang setakat 31 Disember 2016.

Sejak awal Januari tahun ini hingga 30 Jun lalu, KJ01 mencatatkan 438,000 penumpang, menjadikan jumlah keseluruhan 1.2 juta penumpang sejak dilancarkan.

Mohamed Azmin mula menjadi Dato’ Menteri Besar pada 24 September 2014 dan 24 September 2017 merupakan ulang tahun ketiganya menjawat jawatan nombor satu itu.

=EZY=

OLEH LIZAWATI MADFA (selangorkini.my)

Admin2

Leave Comment :