MB: Jumlah penerima KISS dinaikkan kepada 40,000 orang

SHAH ALAM, 28 MAC: Penerima bantuan Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dinaikkan daripada 30,000 kepada 40,000 golongan ibu di Selangor dengan peruntukan sebanyak RM96 juta.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri menyedari penerimaan luar biasa program itu yang mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan ibu di negeri ini.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri berbesar hati untuk mengumumkan bilangan penerima KISS dinaikkan daripada 30,000 kepada 40,000.

“Dengan peruntukan awal sebanyak RM72 juta setahun, sejumlah RM4.3 juta telah dibelanjakan peserta KISS secara tanpa tunai (cashless) dilebih dari 300 kedai dan pasaraya panel KISS berdaftar di seluruh Selangor,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Beliau berkata, sehingga 21 Mac lalu, sejumlah 27,923 mewakili 93 peratus penerima layak menerima manfaat berkenaan yang diberikan kepada golongan ibu yang layak.

Program KISS memberi pengiktirafan terhadap peranan dan pengorbanan ibu sebagai tonggak pembangunan institusi keluarga dan masyarakat.

Melalui program itu, golongan ibu yang layak bakal menerima insentif berjumlah RM2,400 setahun atau RM200 sebulan untuk membeli keperluan asas bulanan.

OLEH SABIRAH AZIZ (selangorkini.my)

=EZY=

Admin1