Orang luar teringin sertai Tawas, rakyat Selangor jangan lepas peluang

SUNGAI BULOH, 26 FEB: Penduduk di Selangor disarankan supaya tidak melepaskan peluang menyertai pelbagai skim Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang disediakan Kerajaan Negeri untuk rakyatnya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman, berkata antara program terbabit adalah program Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) yang turut menarik perhatian rakyat negeri lain.

“Sejak 2008 Kerajaan Negeri tidak meletakkan syarat hanya pengundi sahaja yang dapat manfaat program Kerajaan Negeri tetapi bukan pengundi seperti kanak-kanak juga boleh dapat manfaat seperti TAWAS di mana bila umur dia mencecah 18 tahun dia akan dapat RM1,500 seorang. Kalau dalam keluarga itu ada tiga anak, dah ada RM4,500.

“Ramai orang luar Selangor cemburu dengan rakyat Selangor kerana syarat untuk menyertai program ini mestilah rakyat Tuanku Sultan Selangor.

“Kepada penduduk Selangor sama ada yang lahir di sini atau anaknya lahir di sini jangan lepaskan peluang ini kerana orang di luar Selangor ramai teringin nak ada program seperti ini, jadi kita di Selangor kena ambil peluang,” katanya.

Mohd Khairuddin berkata demikian pada Program Penyampaian Penyata TAWAS dan Pendaftaran Baru oleh Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) di kawasan letak kereta Econsave, Bandar Baru Sungai Buloh di sini, semalam.

Jelasnya, Kerajaan Negeri juga memastikan supaya manfaat daripada program Kerajaan Negeri itu dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa mengira idealogi politik masing-masing.

Katanya, program TAWAS perlu dipromosikan dengan lebih giat lagi bagi memastikan tiada pihak yang tercicir daripada menerima manfaat program Kerajaan Negeri.

“Kita ucapkan tahniah kepada pasukan YAWAS yang turun ke bawah dan memudahkan rakyat yang ingin memohon di mana masalah kita adalah ada rakyat tidak dapat maklumat.

“Dan ada juga yang dapat maklumat tetapi tidak tahu bagaimana cara nak memohon. Peranan wakil rakyat dan Ketua Kampung amat penting atasi isu ini,” katanya.

OLEH NAZLI IBRAHIM

Sumber oleh : Selangorkini

Atikah

Leave Comment :