peduli-sihat

Peduli Sihat sedia perkhidmatan efektif, ambil peluang segera

SHAH ALAM, 30 OGOS: Program Skim Peduli Sihat Selangor mendapat sambutan positif rakyat di Selangor berikutan kemudahan rawatan yang efektif dan menyenangkan.

Rata-rata peserta yang menyertai program diperkenalkan Kerajaan Negeri sejak awal tahun ini, berpuas hati dengan perkhidmatan disediakan menerusi 1,000 klinik di seluruh Selangor di bawah program berkenaan.

Sehubungan itu, rakyat Selangor berkelayakan disaran menggunakan kemudahan program itu kerana Kerajaan Negeri memperuntukkan RM125 juta bagi tujuan itu dengan sasaran sejuta orang memperoleh manfaat melaluinya.

Seorang peserta melahirkan rasa puas hati terhadap skim berkenaan melalui laman sosial facebooknya, Pak Pen Firdaus, menyatakan kemudahan dialami ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik berbanding pengalaman ditempohnya sebelum itu.

Peduli Sihat“Pengalaman sebelum ini, saya perlu menunggu hampir tiga hingga empat jam untuk mendapatkan rawatan dan berjumpa doktor, bagaimanapun hari ini saya terus ke Klinik Panel Peduli Sihat Selangor dan mendapatkan rawatan kurang dari 5 minit.

“Keseluruhan urusan saya di klinik hanya mengambil masa 10 minit sebelum saya melangkah keluar. Apa yang lebih mengembirakan, saya tidak dikenakan bayaran langsung kerana bil rawatan saya sebanyak RM50 telah dibayar menggunakan Kad Peduli Sihat ini,” catatnya dan menggalakkan rakyat yang layak mengambil kesempatan menggunakan kemudahan itu.

Skim Peduli Sihat adalah skim perlindungan asas bagi meringankan kos sara hidup untuk kumpulan B40 iaitu golongan berpendapatan RM1,500 hingga RM3,000 sebulan.

Dibahagikan kepada dua kategori iaitu keluarga dan individu di mana bagi kategori keluarga, mereka layak menerima RM500 diperuntukkan dalam satu kad Peduli Sihat dengan syarat rakyat Selangor atau bermastautin di negeri itu selama 10 tahun dan berpendapatan di bawah RM3,000.

Bagi kategori individu, mereka berumur 21 tahun ke atas layak menerima pembiayaan RM200 setahun, berpendapatan di bawah RM1,500 serta syarat sama.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang – https://www.pedulisihat.com

OLEH HAFIZAN TAIB (selangorkini.my)

Admin2

Leave Comment :