Gan Pei Nei Pengurus Besar baharu YAWAS

SHAH ALAM, 8 OKT: Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) mengumumkan pelantikan Gan Pei Nei sebagai Pengurus Besar baharunya berkuat kuasa 1 Oktober 2018.

Perkara itu diumumkan Pengurusan YAWAS dalam satu kenyataan hari ini.

YAWAS merupakan agensi Kerajaan Negeri yang mengendalikan dua program dibawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) iaitu Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) dan Insentif Perkahwinan Belia.

Program TAWAS terbuka kepada anak-anak kelahiran Selangor yang memenuhi syarat dan permohonan juga perlu dilakukan sebelum anak berusia 3 tahun.

Tabung Amanah berkenaan diuruskan Kerajaan Negeri dan Ahli TAWAS menerima RM1, 500 apabila mencapai usia 18 tahun kelak.

Bermula dari 1hb Mac 2014, YAWAS memperkenalkan Skim Khairat Kematian TAWAS bernilai RM 1,500 yang akan diberikan kepada waris Ahli TAWAS sekiranya ahli meninggal dunia sebelum mencapai usia 18 tahun.

YAWAS juga diberi tanggungjawab bagi menguruskan Program Insentif Perkahwinan Belia mulai Januari 2017.

Pasangan pengantin baru layak menerima insentif perkahwinan sebanyak RM500 sekiranya pasangan tersebut menepati syarat ditetapkan.

Penyaluran Insentif disalurkan melalui bank BSN menggunakan Sijil Simpanan Premium dan pemohon tidak perlu membuka akaun BSN untuk menerima insentif tersebut.

OLEH AFIX REDZUAN (selangorkini.my)

Admin1