Pemberian air percuma demi keperluan & kebajikan rakyat

SHAH ALAM, 27 DIS: Pemberian 20 meter padu air percuma kepada rakyat di negeri ini bukan bersifat rasuah politik Kerajaan Negeri untuk memancing undi pilihan raya, kata Pengerusi BBC, Ng Suee Lim.

Sebaliknya beliau berkata, pemberian tersebut adalah bersifat keperluan selaras dasar dan prinsip negeri berkebajikan yang dibawa komponen Pakatan menerajui kepimpinan pentadbiran Selangor.

“Puak Umno ini sudah tidak ada modal dan menggunakan isu lapuk untuk menyerang Kerajaan Negeri yang sejak dari awal mementingkan kebajikan rakyat.

“Dakwaan mengatakan kononnya pemberian air percuma itu rasuah memang tidak masuk akal, kerana keperluan ini merujuk kepada semua rakyat.

“Tidak seperti BRIM yang jelas dianggap sebagai umpan duit apabila pemberian bantuan berbentuk kewangan diberikan untuk memancing rakyat,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau mengulas dakwaan portal pro-Umno yang menyifatkan skim air percuma tersebut adalah ‘bapa segala rasuah politik’ sebagai tindak balas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) sebagai rasuah.

Kerajaan Negeri menawarkan air bersih sebanyak 20 meter padu, bersamaan dengan 20,000 liter atau 5,680 gelen, setiap bulan secara percuma untuk rakyat.

Faedah ini adalah untuk semua tanpa mengira taraf ekonomi, kaum, fahaman politik, asalkan tinggal di Selangor, berhak mendapat air percuma tersebut, setiap bulan.

Pelaksanaan dasar tersebut diwujudkan sebagai inisiatif untuk meringankan beban kehidupan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah akibat daripada kadar sara hidup dan inflasi yang tinggi ketika ini.

=EZY=

Admin2

Leave Comment :