Penjajaran TAWAS dilaksana demi manfaat remaja

SELAYANG, 3 DI : Penjajaran yang bakal dilaksanakan Kerajaan Negeri terhadap Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) bakal memberi manfaat kepada golongan remaja.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, program itu melalui proses pembaharuan, Hadiah Anak Masuk Universiti atau Hadiah Institut Pengajian Tinggi (IPT) mampu memberi manfaat secara langsung kepada remaja berusia 18 tahun.

“Bagaimanapun, Selangor masih negeri terbaik dalam menjaga kebajikan rakyat baik daripada bayi sehingga yang sudah meninggal dunia.

“Penjajaran dilakukan bertujuan mengubah sesuatu ke arah memperkasakan rakyat supaya selain menerima mereka juga mempunyai kemahiran tertentu” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Program Bantuan Sekolah Ahli TAWAS di Sekolah Kebangsaan (2) Taman Selayang, di sini, hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri melihat penjajaran itu perlu kerana graduan kini lebih memerlukan bantuan kewangan bagi memenuhi kelengkapan di peringkat pendidikan tinggi.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan Negeri akan berbincang dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bagi meneruskan dana tabungan permulaan bagi bayi baharu lahir menerusi program Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) di bawah kendalian Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Terdahulu, seramai 34,050 ahli TAWAS menerima set barangan sekolah daripada Kerajaan Negeri sebagai bantuan, bagi memulakan sesi persekolahan tahun depan.

OLEH SHEEDA FATHIL (selangorkini.my)

Admin1