HASIL NEGERI UNTUK RAKYAT

Semenjak Mac 2008 iaitu tahun Pakatan Rakyat mulai mentadbir Negeri Selangor, satu agenda besar telah dirangka dan dilaksanakan dengan segera. Keseluruhan agenda itu dirangkumkan sebagai “Hasil Negeri untuk Rakyat.”

Kekayaan hasil Negeri Selangor disalurkan kepada rakyat Negeri Selangor melalui program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang dahulunya dikenali sebagai Merakyatkan Ekonomi Selangor. Ianya dimulakan dengan 7 agenda kemudian ditambah dan meningkat dari semasa ke semasa melalui fasa demi fasa.

INISIATIF PEDULI RAKYAT (IPR)

Hasil kekayaan Negeri Selangor berhak dikongsi bersama rakyat negeri ini. Hasil kekayaan ini diagihkan melalui pelbagai program bantuan dan sumbangan khusus untuk rakyat Selangor. Program-program ini telah berjaya menyumbang secara terus kepada sebahagian besar rakyat Selangor di mana sehingga kini jumlah sumbangan keseluruhan sudah melebihi RM 1.8 bilion.

Hasil dari kejayaan tersebut, program ini telah ditambah dan dipergiatkan lagi supaya lebih banyak kekayaan dan hasil Negeri Selangor dapat dikongsi bersama dan dinikmati oleh rakyat Selangor. Fasa-fasa berikutnya sentiasa dirancang dan dilaksanakan supaya Inisiatif Peduli Rakyat ini benar-benar memberi manfaat yang maksimum kepada rakyat Selangor.

OBJEKTIF

Objektif utama dalam pentadbiran baharu adalah untuk memastikan Negeri Selangor menjadi negeri idaman dengan kemajuan dikekalkan dan kebajikan rakyat diutamakan di samping kualiti hidup dipertingkatkan agar rakyat dapat menikmati hidup yang lebih sejahtera. Kejayaan Negeri Selangor maju perlu diterjemahkan dengan erti kata sebenar agar rakyat menerima kekayaan Negeri Selangor yang melimpah ruah, mewujudkan keseimbangan dalam semua aspek pembangunan seimbang dan spiritual.

VISI DAN MISI

Visi dan Misi Kerajaan Negeri Selangor dalam program Inisiatif Peduli Rakyat adalah dengan mengutamakan kebajikan rakyat di samping kualiti hidup rakyat dipertingkatkan. Rohani dan jasmani amat penting ke arah mengekalkan status negeri maju dan terus disegani.