PERUTUSAN

azminAssalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Semoga Allah memberi kita kesihatan tubuh dan kecerdasan minda supaya kita bermotivasi tinggi untuk sama-sama menyumbang terhadap pembangunan Negeri Selangor yang tercinta ini. Saya serta barisan pemimpin Kerajaan Negeri Selangor serta ketua-ketua jabatan peringkat negeri dan daerah termasuk seluruh penjawat awam memang berusaha meneruskan lagi agenda “Inisiatif Peduli Rakyat” atau ringkasnya IPR. Melalui IPR, Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai program dan aktiviti dan membangunkan pelbagai sumber supaya rakyat semua kaum tanpa mengira perbezaan agama mahupun fahaman politik dapat sama-sama menikmati hasil kekayaan selari dengan pertumbuhan pesat ekonomi negeri ini.

Sesungguhnya pelaksanaan secara berperingkat pelbagai program dan aktiviti dalam agenda IPR, bakal memanfaatkan seluruh rakyat Selangor daripada usia bayi hingga usia emas. Mereka termasuk Orang Kelainan Upaya, Ibu Tunggal, golongan miskin dan Orang Asli. Agenda IPR fasa kedua pula memanfaatkan penjawat awam, misalnya kemudahan cuti bersalin 90 hari, cuti 14 hari bagi suami yang isterinya bersalin dan cuti sebulan bagi wanita yang kematian suami.

Fasa ketiga dan keempat program IPR pula berbentuk bantuan kewangan untuk anak ke nurseri, anak pra-sekolah, pasangan mendirikan rumah tangga, ibu tunggal, suri rumah dan memulakan perniagaan.

Di bawah #SmartSelangor pula, program IPR akan diteruskan lagi mengikut keperluan dan bagi memenuhi, “Hasil Negeri untuk Rakyat”.

Saya percaya, sektor swasta turut sama melaksanakan tanggungjawab memajukan negeri ini dengan penghasilan produk dan perkhidmatan yang berpotensi meningkatkan pendapatan negeri dan negara.

Semoga Allah memberkati segala usaha kita ini untuk menjadikan Selangor sebuah ‘baidatun talyibatuw warabbun ghafur’ iaitu sebuah negeri yang indah dan bahagia serta mendapat keampunan-Nya.

Wasalam.

Y. A. B. DATO SERI MOHAMED AZMIN BIN ALI
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR