Peserta HIJRAH kini 52,000 orang

SHAH ALAM, 6 JULAI: Seramai 52,000 peserta skim mikrokredit Hijrah Selangor (HIJRAH) menikmati manfaat menerusi program usahawan itu, sehingga kini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslim Md Akhir berkata, sejumlah RM400 juta dibelanjakan dan pihaknya yakin bilangan peserta akan meningkat hujung tahun ini, sekali gus mencapai sasaran 56,000 peserta.

“Kita memberikan pinjaman mengikut permintaan dengan sasaran 56,000 peserta akan menikmati program ini, sekali gus memenuhi hasrat Kerajaan Negeri memperkasa peniaga kecil.

“Malah, kita juga mahu peniaga kecil ke peringkat menengah dan terus maju ke hadapan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Roslim berkata, rekod bayaran balik juga memuaskan dengan capaian 85 peratus, setakat ini.

Katanya, peserta yang gagal menjelaskan bayaran akan berdepan tindakan senarai hitam.

“Kebanyakan peserta tiada masalah membayar balik, namun terdapat segelintir yang masih enggan berbuat demikian.

“Mereka ini bukan tidak membayar langsung tetapi bayaran mingguan tertunggak tidak dijelaskan,” katanya.

OLEH NORHAYATI UMOR (selangorkini.my)

Admin1